TAHAP PEMIKIRAN LESTARI SISWA GURU RBT TERHADAP ALAM SEKITAR
Keywords:
Tahap pemikiran lestari, RBT, IPG, alam sekitar.Abstract
Pemikiran lestari merupakan satu proses dalam membuat keputusan tanpa mengabaikan kepentingan terhadap alam sekitar. Namun, saban waktu dunia sentiasa dihujani dengan isu kemusnahan alam sekitar. Walhal pihak berwajib sentiasa meneliti dan melakukan penambahbaikan terutamanya institusi pendidikan yang sangat mementingkan penyepaduan kelestarian dalam kurikulum sekolah. Hal ini menunjukkan pentingnya mempunyai tahap pemikiran yang baik terhadap alam sekitar. Justeru, kajian ini dijalankan bagi meninjau tahap pemikiran lestari siswa guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di Institut Pendidikan Guru (IPG) terhadap alam sekitar. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik. Data kajian dianalisis menggunakan SPSS versi 27 dan dihuraikan dalam bentuk deskriptif. Sampel yang terlibat adalah keseluruhan populasi iaitu seramai 73 orang siswa guru elektif RBT. Dapatan kajian menunjukkan tahap pemikiran lestari siswa guru RBT terhadap alam sekitar berada di tahap yang tinggi dan menunjukkan persamaan tahap antara siswa guru lelaki dan perempuan. Kajian ini dapat menyumbang kepada proses pembinaan ilmu serta menjadi panduan kepada siswa guru untuk terus proaktif dalam menyebarluas amalan kelestarian alam sekitar. Selain itu, kajian ini juga dapat membantu guru RBT meningkatkan kualiti pengajaran melalui perancangan strategi yang sistematik dan berkesan bagi memperkukuh pemikiran lestari murid selaras dengan matlamat pembangunan mampan untuk mencapai kesejahteraan sejagat.
