HUBUNGAN PENGAMALAN KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH MELALUI PEMBELAJARAN INKUIRI DIGITAL DALAM KALANGAN GURU PELATIH
Keywords:
Pembelajaran inkuiri digital, Kemahiran Pemikiran Sejarah, guru pelatih, pedagogi sejarah, pendidikan sejarah.Abstract
Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) merupakan elemen penting yang perlu dikuasai oleh guru pelatih bagi membolehkan mereka mengaplikasikan pemikiran sejarah secara kritis, analitis dan reflektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.. Justeru, kajian ini bertujuan untuk (i) mengenal pasti tahap pengamalan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kalangan guru pelatih, (ii) menilai tahap penggunaan pembelajaran inkuiri digital dalam pengajaran sejarah, dan (iii) mengenal pasti hubungan antara pembelajaran inkuiri digital dengan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kalangan guru pelatih. Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kajian ini merangkumi lima konstruk, iaitu kemahiran memahami kronologi, kemahiran meneroka bukti, kemahiran membuat interpretasi, kemahiran membuat imaginasi dan kemahiran membuat rasionalisasi. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan kuantitatif yang melibatkan seramai 30 orang guru pelatih yang dipilih menggunakan teknik persampelan bertujuan (purposive sampling). Instrumen kajian ialah soal selidik yang diadaptasi daripada kajian terdahulu, telah disahkan oleh pakar dalam bidang pendidikan sejarah serta menunjukkan nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif, iaitu min dan sisihan piawai, bagi menentukan tahap pengamalan pemboleh ubah kajian, manakala statistik inferensi menggunakan Ujian Korelasi Pearson bagi mengenal pasti hubungan antara pembelajaran inkuiri digital dengan Kemahiran Pemikiran Sejarah melalui perisian IBM SPSS versi 24. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengamalan Kemahiran Pemikiran Sejarah dan penggunaan pembelajaran inkuiri digital berada pada tahap sederhana. Analisis Korelasi Pearson menunjukkan terdapat hubungan positif yang kuat dan signifikan antara pembelajaran inkuiri digital dengan Kemahiran Pemikiran Sejarah (r = .753, p < .01). Dapatan ini membuktikan bahawa peningkatan amalan pembelajaran inkuiri digital turut menyumbang kepada peningkatan penguasaan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kalangan guru pelatih. Implikasi kajian ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada pensyarah, guru pelatih dan guru sejarah dalam merancang strategi pengajaran berasaskan inkuiri digital yang mampu meningkatkan kualiti pengajaran sejarah selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.

