KEPERLUAN BANTUAN ZAKAT DALAM KALANGAN PELAJAR: SUATU TINJAUAN DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TUANKU BAINUN
Keywords:
zakat, pengurusan kewangan, pelajar IPGAbstract
Kajian ini meneliti cabaran kewangan yang dihadapi oleh pelajar institusi pengajian tinggi susulan peningkatan kos sara hidup. Kekangan sumber kewangan didapati menjejaskan keupayaan pelajar untuk membeli bahan pembelajaran, menyertai aktiviti pembangunan profesional, serta menampung keperluan asas harian. Walaupun zakat merupakan antara mekanisme sokongan kewangan yang tersedia, keberkesanannya dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) masih kurang dikaji secara mendalam. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti sumber kewangan, tahap min perbelanjaan bulanan, serta meneliti keperluan bantuan zakat dalam kalangan pelajar. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan deskriptif dengan soal selidik sebagai instrumen pengumpulan data melibatkan 255 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) di IPG. Data dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 21.0. Hasil kajian menunjukkan bahawa selain elaun IPG, sumber kewangan utama pelajar ialah wang saku daripada ibu bapa (min = 2.00). Tahap min perbelanjaan bulanan tertinggi ialah makanan (min = 3.20), bahan pembelajaran (min = 3.10) dan kos internet (min = 2.90). Walaupun kesedaran terhadap kewujudan bantuan zakat agak tinggi (min = 3.60), masih ramai pelajar yang layak tidak membuat permohonan (min = 2.70) disebabkan kekeliruan berkaitan kelayakan serta prosedur. Kajian ini mencadangkan agar institusi zakat menambah baik mekanisme agihan, mempermudah proses permohonan, serta memperkukuh program literasi kewangan dalam kalangan pelajar.
