REALCLASS PBD: EKSPLORASI PENTAKSIRAN DI SEKOLAH PENGAJAR
Keywords:
RealClass PBD, Pentaksiran Bilik Darjah, Sekolah Pengajar, guru pelatihAbstract
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Guru pelatih masih menghadapi cabaran dalam mengaplikasikan pentaksiran secara sistematik dalam konteks bilik darjah sebenar. Kajian ini dilaksanakan melalui program RealClass PBD: Eksplorasi Pentaksiran di Sekolah Pengajar bagi menilai keberkesanannya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru pelatih IPGKTB dengan menggunakan pendekatan campuran yang melibatkan soal selidik berstruktur, pemerhatian berasaskan senarai semak, analisis dokumen seperti Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan instrumen pentaksiran, serta refleksi kendiri guru pelatih. Sampel kajian terdiri daripada 15 orang guru pelatih yang dipilih melalui teknik persampelan bertujuan berdasarkan penglibatan mereka dalam pelaksanaan program di Sekolah Pengajar. Data kuantitatif dianalisis secara statistik deskriptif, manakala data kualitatif dianalisis menggunakan analisis tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa program ini berjaya meningkatkan keupayaan guru pelatih dalam merancang, melaksanakan dan menilai PBD secara lebih sistematik, autentik dan berkesan. Pengalaman di Sekolah Pengajar yang disokong oleh bimbingan guru sekolah dan pensyarah memperkukuh kemahiran pedagogi, penggunaan pelbagai instrumen pentaksiran serta keupayaan mentafsir evidens pembelajaran. Secara keseluruhan, kajian ini membuktikan bahawa integrasi teori dan amalan melalui Sekolah Pengajar melahirkan guru pelatih yang lebih kompeten, yakin dan bersedia menghadapi realiti pengajaran sebenar.
