KEMENJADIAN GRADUAN GURU PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN (PISMP) PENDIDIKAN ISLAM BERDASARKANKEMAHIRAN PRAKTIKAL
Keywords:
kemenjadian, graduan, profesionalisme, PISMPAbstract
Masalah kemenjadian graduan guru merujuk kepada jurang antara latihan yang diterima semasa di institut pendidikan guru dengan realiti sebenar di sekolah. Walaupun ramai graduan menunjukkan tahap kompetensi yang baik, terdapat beberapa isu utama yang sering dikenalpasti. Lantaran itu, kajian ini memfokuskan kepada kemenjadian graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang Pendidikan Islam berdasarkan dapatan kuantitatif dan kualitatif melalui instrumen soal selidik dan temu bual bersama tiga pentadbir sekolah. Temu bual separa berstruktur telah dijalankan bagi menilai tahap kemenjadian graduan selepas tiga hingga lima tahun berkhidmat di sekolah. Analisis data kuantitatif menunjukkan tahap kemenjadian graduan berada pada tahap sangat tinggi (M = 3.82, SP = 0.20). Manakala data kualitatif menggunakan kaedah perbandingan berterusan telah mengenal pasti beberapa tema utama yang mencerminkan kekuatan graduan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa graduan PISMP mempunyai penguasaan yang tinggi dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta berkeupayaan menggunakan bahan bantu mengajar termasuk teknologi digital. Selain itu, graduan turut menunjukkan kekuatan dalam pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid, di samping keupayaan melaksanakan tugasan pengurusan sekolah. Dari aspek bimbingan murid, graduan berupaya mengenal pasti tahap penguasaan murid serta memupuk nilai positif dan motivasi dalam kalangan mereka. Kesimpulannya, dapatan membuktikan bahawa graduan PISMP Pendidikan Islam mempunyai kekuatan yang menyeluruh dari segi pedagogi, pengurusan, komunikasi dan nilai profesionalisme, sekaligus mencerminkan keberkesanan latihan perguruan dalam melahirkan guru yang kompeten dan berdaya saing.
