Analisis Penguasaan Kata Kerja Aktif Tak Transitif Dalam Kalangan Murid Tahap 2 di Sekolah Rendah Luar Bandar, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang
Keywords:
Tatabahasa, kata kerja, aktif tak transitif, luar bandar, faktorAbstract
Pendidikan di Malaysia berlandaskan Falsafah Pendidikan Malaysia dan merupakan elemen penting bagi semua individu. Pendidikan adalah asas penghasilan sumber manusia yang memenuhi pelbagai sektor dalam negara. Namun, isu keciciran dalam pendidikan sering dikaitkan dengan lokasi sekolah. Kajian lalu menunjukkan kualiti pendidikan yang rendah di luar bandar. Didapati masyarakat luar bandar kurang mementingkan ilmu pengetahuan dan pendidikan, yang menyebabkan pencapaian akademik merosot. Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap penguasaan kata kerja aktif tak transitif dalam kalangan murid Darjah 4 (Tahap 2) di sekolah kebangsaan terpilih di kawasan luar bandar Seberang Perai Tengah. Selain itu, kajian ini juga mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan tatabahasa bahasa Melayu dalam kalangan murid tersebut. Pengkaji menggunakan pendekatan reka bentuk kajian campuran kualitatif dan kuantitatif. Instrumen kajian kualitatif yang digunakan ialah ujian, manakala instrumen kajian kuantitatif berbentuk soal selidik. Kajian kualitatif dijalankan untuk menentukan tahap penguasaan murid dalam kata kerja aktif tak transitif, manakala kajian kuantitatif pula meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada tahap penguasaan ini. Data dikumpulkan melalui kaedah tinjauan di sekolah luar bandar yang dipilih. Dapatan kajian menunjukkan bahawa 83.3% murid menguasai kata kerja aktif tak transitif dengan baik, sementara 16.7% berada pada tahap penguasaan sederhana. Kajian kuantitatif pula menunjukkan bahawa faktor-faktor seperti lokasi sekolah di luar bandar, sosioekonomi keluarga murid, dan tahap literasi ibu bapa turut mempengaruhi pencapaian murid dalam aspek tatabahasa ini. Implikasi kajian ini menegaskan kepentingan intervensi dan pendekatan pengajaran yang disesuaikan untuk murid di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan tatabahasa Bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini juga mencadangkan agar pihak sekolah bersama komuniti lebih proaktif dalam mengatasi halangan sosioekonomi dan meningkatkan literasi bagi menyokong pencapaian akademik murid luar bandar.
