Tahap Kualiti Bimbingan Pengajaran oleh School Improvement Specialist Coaches (SISC+) Sebagai Faktor Peramal Terhadap Prestasi Kerja Guru
Keywords:
Kualiti Bimbingan Pengajaran, SISC+, Prestasi kerja guru, faktor peramalAbstract
Kajian ini bertujuan untuk melihat samada tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+ merupakan faktor peramal terhadap prestasi kerja guru. Objektif kajian adalah untuk mengkaji tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+, tahap prestasi kerja guru dan hubungan tahap kualiti bimbingan SISC+ dengan prestasi kerja guru. Seramai 72 responden daripada sekolah-sekolah di sebuah daerah terlibat dalam kajian berbentuk tinjauan ini. Data kajian dianalisis dengan menggunakan statistic deskriptif dan inferensi menerusi Microsoft Excel dan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 27. Analisis deskriptif menggunakan frekuensi, skor min dan sisihan piawai mendapati tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+ berada pada tahap tinggi, prestasi kerja guru juga berada pada tahap tinggi. Analisis statistik inferensi menggunakan ujian korelasi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+ dengan prestasi kerja guru. Menerusi ujian regressi linear mudah didapati, tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+ adalah faktor peramal kepada prestasi kerja guru. Kajian ini memberi implikasi kepada SISC+ yang mana SISC+ perlu mengamalkan sikap profesional bagi memastikan bimbingan pengajaran mereka adalah berkesan kepada guru-guru yang dibimbing. Apabila tahap kualiti bimbingan pengajaran SISC+ tinggi, ia dapat mempengaruhi peningkatan prestasi kerja guru yang dibimbing.
