ELEMEN MERENTAS KURIKULUM DALAM RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI
Keywords:
modal insan, pendidikan guru, kemenjadian muridAbstract
Elemen Merentas Kurikulum (EMK) merupakan unsur tambahan yang harus diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdPc) untuk memantapkan modal insan murid. Kajian ini bertujuan meninjau sejauh mana guru pelatih Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dapat merancang penerapan EMK dalam pengajaran RBT. Pendekatan kualitatif dalam kajian ini menggunakan kaedah analisis dokumen terhadap Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang disediakan oleh guru pelatih semasa Praktikum Fasa I. Tinjauan dalam kalangan 72 daripada 91 pelajar RBT yang memberi respon menunjukkan tiga EMK yang paling kerap dipilih oleh guru pelatih ialah Kreativiti & Inovasi (22.9%), Nilai Murni (22%), dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (20.6%). Sebanyak 15 RPH yang disediakan oleh guru pelatih dipilih secara rawak untuk dibuat analisis kandungan. Hasil analisis mendapati 32.6% EMK yang dirancang adalah menepati aktiviti PdP, 25.6% EMK adalah kurang bertepatan manakala EMK yang cuma dicatat atau tidak dirancang penggunaannya adalah 41.8%. Turut dikesan adalah miskonsepsi guru pelatih bahawa EMK adalah ditujukan kepada guru dan bukan murid. Implikasi dapatan kajian ini adalah nilai tambah yang dihasratkan melalui penerapan EMK dalam RBT mungkin kurang berkesan. Guru pelatih harus diberi latihan dan bimbingan secara khusus agar mereka dapat memahami konsep penerapan EMK dengan lebih tepat dan seterusnya berupaya menerapkan EMK dalam PdPc RBT secara lebih efektif.
