Pengaruh Media Sosial Terhadap Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu dalam Kalangan Mahasiswa di Institut Pendidikan Guru
Keywords:
media sosial, mahasiswa, bahasa melayu, kemahiran bertutur, bahasa komunikasiAbstract
Penggunaan media sosial yang meluas dalam kalangan generasi muda merumitkan kemahiran bertutur secara formal dan standard kerana ia meningkatkan penggunaan bahasa slanga dan kolokial. Oleh itu, kajian ini meneroka pengaruh media sosial terhadap kemahiran bertutur bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang memberi tumpuan kepada aspek sikap, persekitaran dan jenis penggunaan bahasa komunikasi. Kajian lepas berpendapat bahawa perubahan teknologi dan kepesatan penggunaan media sosial mempengaruhi perkembangan bahasa terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Masalah utama yang dikaji ialah bagaimana media sosial mengubah cara mahasiswa menggunakan bahasa Melayu termasuk peningkatan penggunaan bahasa rojak, pengabaian tatabahasa dan kecenderungan menggunakan bahasa tidak formal. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti kesan media sosial terhadap kemahiran bertutur bahasa Melayu terhadap sikap dan persekitarannya serta menganalisis jenis bahasa yang digunakan dalam komunikasi. Reka bentuk kajian ini adalah penyelidikan tinjauan dengan menggunakan kaedah kualitatif dengan enam responden ditemu bual secara berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan media sosial bukan sahaja memberi kesan kepada sikap terhadap bahasa tetapi juga mencorakkan persekitaran komunikasi mahasiswa di mana bahasa slanga, ken, jargon, kolokial dan vulgar juga digunakan. Selain itu, ia juga mempengaruhi interaksi sosial yang mengurangkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam konteks rasmi. Pengkaji mencadangkan agar program pendidikan yang lebih seimbang dikembangkan untuk mengimbangi penggunaan bahasa tidak formal dan baku di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa kebangsaan dalam situasi formal.