Penggunaan Sumber Bahan Pembelajaran Berasaskan Multimedia Semasa Praktikum Dalam Kalangan Guru Pelatih Pendidikan Islam
Keywords:
Sumber Bahan Pembelajaran, Multimedia, Penggunaan, Pendidikan Islam, PraktikumAbstract
Integrasi multimedia dalam pendidikan telah menjadi sangat penting dengan perkembangan pesat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Guru menghadapi cabaran dalam menggunakan sumber pembelajaran yang berkesan, yang penting untuk melibatkan murid dan meningkatkan pengalaman pembelajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap penggunaan sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia dalam kalangan guru pelatih pendidikan Islam semasa praktikum, mengenal pasti kemahiran mereka dalam menggunakan sumber tersebut, serta mengenal pasti jenis-jenis sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia yang sering digunakan. Reka bentuk kajian ini adalah penyelidikan tinjauan yang menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian. Sampel seramai 85 orang dipilih melalui persampelan rawak mudah. Data kajian ini menggunakan analisis deskriptif melalui Statistical Package for Social Science (SPSS) Versi 26. Hasil dapatan kajian mendapati
tahap penggunaan sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia dalam kalangan guru pelatih berada pada tahap yang tinggi dengan (M=4.21). Selain itu, hasil dapatan bagi kemahiran penggunaannya juga berada pada tahap yang tinggi iaitu (M=4.11). Hasil dapatan bagi jenis-jenis sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia yang sering digunakan oleh guru-guru pelatih Pendidikan Islam dalam PdP juga pada berada pada tahap yang tinggi dengan (M=4.03) dengan video dan persembahan elektronik menjadi sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia yang paling banyak digunakan. Oleh itu, kajian lanjutan disarankan untuk menilai kesan penggunaan sumber bahan pembelajaran berasaskan multimedia terhadap pencapaian dan pemahaman pelajar dalam subjek Pendidikan Islam serta faktorfaktor keberkesanan penggunaannya.