Tahap Penguasaan Laras Bahasa Seni Visual Guru-guru Bukan Opsyen Pendidikan Seni Visual (PSV) di Daerah Kota Setar, Kedah
Keywords:
tahap penguasaan, laras bahasa seni visual, guru bukan opsyen, persepsi, pedagogiAbstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap penguasaan laras bahasa seni visual guru-guru bukan opsyen PSV di Daerah Kota Setar, Kedah. Fokus kajian adalah untuk mengenal pasti sejauh mana pengetahuan dan penggunaan laras bahasa seni visual oleh guru-guru ini dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) PSV. Kajian ini juga meneliti perbezaan tahap penguasaan bahasa seni visual antara guru di sekolah bandar dan luar bandar, serta kesan pengalaman mengajar terhadap tahap penguasaan laras bahasa seni. Data dikumpulkan melalui soal selidik secara Google Form yang melibatkan responden seramai 154 orang guru bukan opsyen PSV. Data yang dikumpul dianalisis melalui Stistical Package for Social Science (SPSS) Versi 27. Hasil dapatan kajian mengkaji persepsi guru terhadap subjek PSV berada pada tahap
sederhana (min 2.92), tahap pengetahuan guru bukan opsyen PSV mengenai laras bahasa seni visual berada pada tahap tinggi (min 3.79), tahap penggunaan laras bahasa seni visual juga berada pada tahap tinggi (min 3.73) dan pedagogi laras bahasa seni guru bukan opsyen PSV pada tahap tinggi (min 3.67). T-test digunakan bagi mengenalpasti hubungan antara persepsi guru bukan opsyen di sekolah bandar dengan luar bandar. Korelasi menunjukkan hubungan antara dua variabel untuk menguji hipotesis iaitu persepsi guru bukan opsyen PSV terhadap laras bahasa seni visual dengan pengalaman mengajar di sekolah serta pengalaman mengajar subjek PSV dengan pedagogi laras bahasa seni visual menggunakan koefisien korelasi Pearson. Dapatan ini mencadangkan keperluan untuk latihan yang lebih intensif bagi meningkatkan kompetensi dan minat guru bukan opsyen dalam mengajar PSV serta melaksanakan kajian lanjutan dalam bentuk kajian kualitatif dengan menggunakan pelbagai instrumen.